iklaneka

Tuesday, July 2, 2013

The Truth Of Emotional Trail Ride Waterfall 2013 - Kota Tinggi Waterfall Funride


Start Together,Ride Together,Finish Together
Ini adalah tagline untuk waterfall funride yang berlangsung pada 30 Jun 2013 di air terjun Kota Tinggi.Mungkin ini adalah satu-satunya funride yang langsung tiada marking trail,marshall atau apa sahaja yang korang boleh jumpa dalam acara funride.Oleh sebab itu tagline di atas dipilih untuk menonjolkan konsep kayuhan ini adalah santai dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan antara rakan-rakan basikal yang dah lama tidak kayuh bersama.Alhamdullilah kayuhan kali ini mendapat sambutan seramai 41 pengayuh antaranya dari team Ramunia,Pasak,Air Tawar 2,Gugusan Adela,Pasir Gudang dan Johor Bharu.

Rancangan Mengejut
Idea kayuhan ini datangnya dari Herman yang ingin membawa pengayuh dari Ramunia untuk merasai keenakan trail waterfall disamping aku ngan dia dah lama tak masuk trail ini dimana banyak kenangan sepanjang berkayuh kat trail ini.Tiba-tiba idea tu bertukar nak buat funride pulak nak panggil kawan-kawan lain untuk kayuh bersama.Dari situ la maka kami merancang membuat t-shirt kenangan dan lain-lain untuk menampakkan kemeriahan acara ini nanti.Penyertaan pula hanya terhad untuk 50 peserta sahaja.Malangnya lebih ramai yang berminat untuk membeli baju memandangkan ramai yang tidak dapat hadir disebabkan memberi sokongan kepada JDT final piala f.a dan jamboree Simpang Renggam.Memang sengaja kami memilih tarikh 30 Jun 2013 sebab kami pasti sambutan tidaklah berapa hangat.Maka yang tidak ada rancangan pada tarikh tersebut bolehlah menyertai kami.

Funride Begin
Aku ingat paling awal sampai,rupanya Tom,Panjang,Wak Am,Ila dan Helmy and the gang paling awal sampai dari aku.Herman masih dalam perjalanan dengan team Ramunia dan menjadi orang terakhir yang sampai.Memang hampeh penganjur lambat sampai.Nasib baik aku bawa dulu baju ngan banner.Lepas siap gantung banner dan penyerahan baju maka sesi briefing ringkas dan diiringi doa keselamatan dari Haji Din dari Kelab Basikal Air Tawar 2 yang menghantar ramai ahlinya termasuk 2 orang kanak-kanak.

Oleh kerana dah setahun lebih aku tak masuk trail waterfall ni so aku mengharapkan GPS Garmin Rahman KBC untuk menunjuk arah.Malangnya peta dalam GPS dah hilang maka terpaksalah menggunakan GPS dalam kepala otak aku ni.Disebabkan itulah maka ramai-ramai aku bawa ke jalan kesesatan di permulaan trail di dalam kebun getah.Aku dah terlepas satu simpang yang akan menuju ke kebun kelapa sawit dan singletrail hutan.Dalam kesesatan itu kami telah terputus dua kumpulan dimana kumpulan dibelakang terdapat peserta yang mengalami rantai putus.Aku mengambil keputusan untuk back track tapi aku pulak kebocoran tiub sorang-sorang pulak tu kat tengah kebun.Setelah semuanya berjumpa kembali aku membawa peserta ke trail asal waterfall melalui jalan balak yang berkurun ditinggalkan.Keadaan trail memang mengujakan dengan pokok yang tumbang dan semak.

Ketika ini kami berkayuh di dalam hujan yang agak lebat dengan kilat sambung menyambung.Aku melajukan sedikit kayuhan untuk cepat sampai ke kawasan kelapa sawit memandangkan keadaan yang bahaya di dalam hutan ketika petir yang sedang menggila di atas kepala.Ini pengalaman aku kali kedua berkayuh di dalam trail ini semasa hujan,ribut dan petir.Banyaknya pokok tumbang agak melambatkan pergerakan kami.Didalam hati sentiasa berdoa agar tidak ada apa-apa kecelakaan berlaku.

Keadaan trail memang agak extreme di dalam keadaan hujan yang lebat.Semasa sampai di ladang kelapa sawit aku mengingatkan peserta supaya berhati-hati dengan serangan pacat dimana ada satu kawasan pacat yang akan dilalui.Selepas melalui ladang sawit kayuhan diteruskan memasuki trail hutan semula untuk menuju ke air terjun pelepah iaitu destinasi utama kayuhan ini.Hutan dikawasan air terjun ini masih lagi menyimpan khazanah alamnya seperti haiwan-haiwan liar.Kali ini aku duduk paling belakang menemani peserta-peserta yang dah mula kena serangan kekejangan otot akibat cuaca yang sejuk.

Akibat hujan yang lebat maka air sungai pun semakin naik dan mengalir dengan deras.Untuk sampai ke air terjun pelepah perlu melintasi 3 sungai.Dengan air yang deras, melintasi sungai dengan membawa basikal agak sukar.Kali ini aku berada paling hadapan memandu arah team Pasak dan Air Tawar 2 yang tak sabar nak habiskan kayuhan kerana sudah kelaparan.Jam baru pukul 12 dan aku pula berjanji ngan Abang Sham Nasi Ayam untuk hantar makanan pukul 1,maka kayuhan kena diteruskan.Malangnya, disebabkan hujan air terjun pelepah dilimpahi air yang deras dan amat merbahaya untuk mandi.Maka, kami hanya berehat seketika dan kemudian menyambung kayuhan untuk balik di tempat dimana kami bermula.Kayuhan tamat pukul 1.15 petang dan tepat dalam jangkaan aku.Alhamdullilah tidak ada kecelakaan yang berlaku kepada peserta dan semua berasa gembira dengan acara kayuhan kali ini.

Pengalaman Ngeri
Semasa permulaan trail di dalam kawasan hutan laluan tinggalan balak, hujan lebat beserta petir sudah mula turun.Aku berada paling hadapan sekali memandu arah semua peserta kerana aku satu-satunya yang paling tahu keadaan dan arah trail waterfall ini.Disinilah aku mengalami pengalaman ngeri di mana melihat petir menyambar pokok betul-betul dihadapan aku.Terus aku berhenti dan menenangkan hati yang berderau.Terkejut dan takut semua ada.Banyak pengalaman aku dapat setiap kali kayuh kat trail waterfall ni.Melihat kelibat pak belang,hampir-hampir dilanggar babi melintas,nak kena serang babi yang tengah marah dan kali ini melihat petir depan mata.Bagi aku trail waterfall menjanjikan keseronokan mengayuh yang tidak terkata.

Terima Kasih
Jutaan terima kasih terutama kepada Herman kerana idea dan wang ringgit dari dia untuk menjayakan event ini.Aku hanya membantu apa yang perlu agar event ini berjaya.Juga kepada Rahman,Panjang dan Megat yang bertindak sebagai sweeper.Kalau takde dorang susah gak nak handle peserta yang ramai ni.Kepada kawan-kawan yang sudi datang Tom,Dot dan Techprocycle Team,Helmy,Haizam and son,Azwan,Ila,Wak Am,Pasak Cycling Club,Team Ramunia dan Kelab Basikal Air Tawar 2 yang menjayakan acara ini.In sya Allah aku ngan Herman merancang untuk buat acara ini sebagai acara tahunan.


Sebahagian peserta yang tinggal untuk group photo

 Selepas melalui trail hutan dengan petir di atas kepala
 
 Kalau tak deras memang aku kayuh je cross sungai ni.Di dalam gambar Yan dari team Ramunia

Kawan2 dari JB,Ila satu2nya rider wanita dan Herman
 
 Team Pasak.Baju flannel tu aku.kikiki

Team dari Air Tawar 2 dengan 2 orang rider cilik bersemangat waja.

No comments: